Dari
Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda, "Seutama-utama puasa
sesudah puasa bulan Ramadan ialah puasa bulan Muharram dan seutama-utama solat
sesudah solat fardu ialah solat malam". (Sahih Muslim)
Abu
Musa Al Madani meriwayatkan dari Ibnu Umar r.a.; "Barangsiapa yang
berpuasa pada hari Asyura (10 Muharram) adalah seperti berpuasa setahun dan
siapa yangg bersedekah pada hari Asyura adalah bagiku bersedekah setahun."
Riwayat Albazzar
Dari
Abu Qatadah Al-Anshari r.a. katanya Rasulullah s.a.w. ditanya orang tentang
puasa hari arafah (9 Zulhijjah). Jawab baginda,
"Semoga dapat menghapus dosa tahun yang lalu dan yang akan
datang". Kemudian Nabi ditanya pula tentang puasa hari asyura (10
Muharram). Jawab baginda, "semoga dapat menghapus dosa tahun yang
lalu". (Sahih Muslim)
Dari
Aisyah r.a. katanya "Biasanya orang Quraisy pada masa jahiliah berpuasa
pada hari asyura dan Nabi s.a.w. pun berpuasa. Ketika Baginda tiba di Madinah,
Baginda juga berpuasa pada hari asyura dan menyuruh orang lain berpuasa
juga". (Sahih Muslim)
Dari
Salamah bin Akwa r.a. dia menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. mengutus
seorang lelaki suku Aslam pada hari Asyura dan memerintahkan kepadanya supaya
mengumumkan kepada orang ramai, "Sesiapa yang belum puasa hari ini
hendaklahlah dia berpuasa dan siapa yang telah terlanjur makan hendaklahlah dia
puasa juga sejak mendengar pemgumuman ini sampai malam". (Sahih Muslim)
Dari
Ibnu Abbas r.a katanya, " Penduduk Khaibar berpuasa pada hari asyura dan
menjadikannya sebagai hari raya, dimana wanita mereka memakai perhiasan dan
pakaian yang indah pada hari itu. Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda,
"Puasalah kamu pada hari itu". (Sahih Muslim)
Dari
Ibnu Abbas r.a. katanya, ketika Nabi s.a.w. tiba di Madinah, Baginda melihat orang
yahudi berpuasa pada hari asyura. Nabi pun bertanya, "Hari apa ini
?". Jawab mereka, "Hari ini ialah hari yang baik. Pada hari ini Allah
melepaskan Bani Israil dari musuh mereka, kerana itu Nabi Musa berpuasa
kerananya". Sabda Nabi, "Aku lebih berhak daripada kamu dengan
Musa". Oleh itu Nabi berpuasa dan menyuruh orang lain berpuasa pada hari
asyura. (Sahih Bukhari)
Rasulullah s.a.w. bersabda; "Berpuasa kamu pada hari
ke sembilan dan sepuluh Muharam dan jangan meniru cara orang-orang
Yahudi." - Riwayat Al Baihaqi
Puasa
hari ‘Asyura’, Tasu‘a’ dan kesebelas Muharram Puasa hari ‘Asyura’ ialah puasa
sunat pada hari kesepuluh bulan Muharram. Diriwayatkan daripada Mu‘awiyah bin
Abu Sufyan Radhiallahu ‘anhuma berkata, aku mendengar Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wasallam bersabda : Maksudnya : “Ini adalah hari ‘Ayura’ dan tidak
diwajibkan ke atas kamu berpuasa sedangkan aku berpuasa. Maka barangsiapa yang
hendak berpuasa maka berpuasalah dia dan barangsiapa mahu (tidak berpuasa) maka
berbukalah dia (boleh tidak berpuasa).” (Hadits riwayat Bukhari) Hikmat
berpuasa pada hari ‘Asyura’ sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas
Radhiallahu ‘anhuma berkata : Maksudnya: “(Tatkala) Nabi Shallallahu ‘alaihi
wasallam sampai di Madinah, baginda melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada
hari ‘Asyura’. Baginda bersabda: “Apakah ini?” Mereka menjawab : “Hari yang
baik, ini adalah hari yang mana Allah menyelamatkan Bani Israil daripada musuh
mereka, maka Musa berpuasa pada hari itu” Nabi bersabda : “Aku lebih berhak dengan
Musa daripada kamu” Lalu Baginda berpuasa dan memerintahkan berpuasa (pada hari
itu.)” (Hadits riwayat Bukhari) Kelebihan berpuasa di hari ‘Asyura’ sebagaimana
yang diriwayatkan daripada Abu Qatadah Al-Anshari berkata :
Maksudnya:
“Dan ditanya (Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam) tentang berpuasa pada
hari ‘Asyura’? Maka Baginda bersabda: “Ia menebus dosa setahun yang telah
lalu.” (Hadits riwayat Muslim) Adalah disunatkan juga di samping berpuasa pada
hari ‘Asyura’, berpuasa pada hari Tasu‘a’ iaitu hari yang kesembilan bulan
Muharram berdasarkan riwayat daripada Abdullah bin Abbas Radhiallahu ‘anhuma
berkata:
Maksudnya:
“Dahulu, ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berpuasa pada hari
‘Asyura’ dan Baginda memerintahkan (para sahabatnya) untuk melakukan puasa itu,
mereka berkata: “Wahai Rasulullah! (Bukankah) sesungguhnya hari ‘Asyura‘ itu
hari yang diagungkan oleh orang-orang Yahudi dan Nasrani?” Maka Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda : “Apabila pada tahun yang akan datang,
Insya Allah kita akan berpuasa pada hari yang kesembilan” Berkata Abdullah bin
Abbas: “Belum sempat menjelang tahun hadapan, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wasallam telah pun wafat.” (Hadits riwayat Muslim) Para ulama menyebutkan
bahawa hikmat disunatkan berpuasa pada hari Tasu‘a’ (sembilan Muharram) itu
dari berbagai-bagai aspek: 1. Bagi menyalahi atau membezakan amalam orang-orang
Yahudi yang hanya berpuasa pada hari ‘Asyura’ (Sepuluh Muharram) sahaja.
Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhu berkata, Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda :
Maksudnya
: “Berpuasalah kamu pada hari ‘Asyura’ dan buatlah perbezaan padanya (dari)
orang Yahudi (dengan) berpuasa sehari sebelumnya atau sehari selepasnya.”
(Hadits riwayat Ahmad) 2. Bagi maksud berhati-hati berpuasa pada hari ‘Asyura’
kerana kemungkinan berlaku kesilapan kekurangan dalam pengiraan anak bulan.
Maka dengan itu hari kesembilan Muharram itu dalam pengiraan adalah hari yang
kesepuluh Muharram yang sebenarnya. 3. Bagi maksud menyambung puasa hari
‘Asyura’ dengan satu hari puasa yang lain kerana tegahan Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wasallam berpuasa satu hari satu-satunya sahaja seperti berpuasa pada
hari Jumaat. Walaupun begitu, tidaklah menjadi apa-apa jika hanya berpuasa
sehari sahaja pada hari ‘Asyura’. (lihat I‘anah Ath-Thalibin 2/301) Oleh kerana
itu disunatkan juga, jika berpuasa pada hari ‘Asyura’ tanpa berpuasa pada hari
Tasu‘a’, supaya berpuasa pada hari kesebelas Muharram. Bahkan Imam Syafi‘e
Rahimahullahu Ta‘ala menyebutkan di dalam Kitab Al-Umm dan Al-Imla’ disunatkan
berpuasa tiga hari tersebut iaitu hari kesembilan (Tasu‘a’), kesepuluh
(‘Asyura’) dan kesebelas bulan Muharram.
No comments:
Post a Comment