Sulaiman bin Daud adalah satu-satunya Nabi yang memperoleh
keistimewaan dari Allah SWT sehingga bisa memahami bahasa binatang. Dia bisa
bicara dengan burung Hud Hud dan juga boleh memahami bahasa semut. Dalam
Al-Quran surah An Naml, ayat 18-26 adalah contoh dari sebahagian ayat yang
menceritakan akan keistimewaan Nabi yang sangat kaya raya ini.
Firman Allah, “Dan Sulaiman
telah mewarisi Daud dan dia berkata, “hai manusia, kami telah diberi pengertian
tentang suara burung dan kami diberi segala sesuatu. Sesungguhnya (semua) ini
benar-benar suatu karunia yang nyata.”
Dan dihimpunkan untuk
Sulaiman tentaranya dari jin, manusia dan burung, lalu mereka itu diatur dengan
tertib (dalam barisan) sehingga apabila mereka sampai di lembah semut
berkatalah seekor semut, “hai semut-semut, masuklah ke dalam sarang-sarangmu
agar kamu tidak diinjak oleh Sulaiman dan tentaranya, sedangkan mereka tidak
menyadari.”
Maka Nabi Sulaiman
tersenyum dengan tertawa kerana mendengar perkataan semut itu. Katanya, “Ya
Rabbi, limpahkan kepadaku karunia untuk
mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada kedua
orang tuaku; karuniakan padaku hingga boleh mengerjakan amal soleh yang Engkau
ridhai; dan masukkan aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hambaMu yang
soleh.” (An-Naml: 16-19)
Menurut sejumlah riwayat,
pernah suatu hari Nabi Sulaiman as bertanya kepada seekor semut, “Wahai semut!
Berapa banyak engkau perolehi rezeki dari Allah dalam waktu satu tahun?”
“Sebesar biji gandum,”
jawabnya.
Kemudian, Nabi Sulaiman
memberi semut sebiji gandum lalu memeliharanya dalam sebuah botol. Setelah
genap satu tahun, Sulaiman membuka botol untuk melihat nasib si semut. Namun,
didapatinya si semut hanya memakan sebahagian biji gandum itu.
“Mengapa engkau hanya
memakan sebahagian dan tidak menghabiskannya?” tanya Nabi Sulaiman.
“Dahulu aku bertawakal dan
pasrah diri kepada Allah,” jawab si semut. “Dengan tawakal kepada-Nya aku yakin
bahawa Dia tidak akan melupakanku. Ketika aku berpasrah kepadamu, aku tidak
yakin apakah engkau akan ingat kepadaku pada tahun berikutnya sehingga boleh
memperoleh sebiji gandum lagi atau engkau akan lupa kepadaku. Kerana itu, aku
harus tinggalkan sebahagian
sebagai bekal tahun
berikutnya.”
Nabi Sulaiman, walaupun ia
sangat kaya raya, namun kekayaannya adalah nisbi dan terbatas. Yang Maha Kaya
secara mutlak hanyalah Allah SWT semata-mata. Nabi Sulaiman, meskipun sangat
baik dan kasih, namun yang Maha Baik dan Maha Kasih dari seluruh pengasih
hanyalah Allah SWT semata. Dalam diri Nabi Sulaiman tersimpan sifat terbatas
dan kenisbian yang tidak dapat dipisahkan; sementara dalam Zat Allah sifat
mutlak dan absolut.
Bagaimanapun kayanya Nabi Sulaiman, dia tetap manusia
biasa yang tidak boleh sepenuhnya dijadikan tempat bergantung. Bagaimana
kasihnya Nabi Sulaiman, dia adalah manusia biasa yang menyimpan
kedaifan-kedaifannya tersendiri. Hal itu diketahui oleh semut Nabi Sulaiman.
Kerana itu, dia masih tidak percaya kepada janji Nabi Sulaiman ke atasnya.
Bukan kerana khuatir Nabi Sulaiman akan ingkar janji, namun khuatir Nabi
Sulaiman tidak mampu memenuhinya lantaran sifat manusiawinya. Tawakal atau
berpasrah diri bulat-bulat hanyalah kepada Allah SWT semata, bukan kepada
manusia.
No comments:
Post a Comment