Dengan
apa yang telah diterangkan oleh AL-Quran berhubung dengan Luqman Al-Hakim para
ulamak telah memperincikan lagi perbicaraan Luqman dengan anak-anaknya.
menerusi satu riwayat dalam kitab Tafsir Ruhul Ma'ani dan Kitab Hidayatul
Mustarsyidin bahawa Luqman telah memberikan anaknya dua puluh lima wasiat iaitu
:
1. Hai anakku, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan
yang dalam dan banyak manusia yang karam
di dalamnya. Bila engkau ingin selamat,
agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan sampan yang bernama takwa,
isinya ialah iman dan layarnya ialah tawakkal kepada Allah.
2. Orang-orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk
menerima nasihat, yakin dirinya akan mendapat penjagaan daripada Allah S.W.T.
Orang yang insaf dari kesalahan setelah menerima nasihat daripada orang lain,
dia akan sentiasa menerima kemuliaan dari Allah S.W.T. jua.
3. Hai anakku!
Orang yang merasa dirinya lebih rendah di dalam beribadah dan taat
kepada Allah, maka orang itu akan sentiasa tawadhuk kepada Allah, dia akan
lebih dekat kepada Allah dan sentiasa menghindarkan dirinya daripada melakukan
maksiat.
4. Hai anakku!
Seandainya orang tuamu memarahimu, maka marahnya itu sebagai siraman air
bagi tanam-tanaman yang kering kontang.
5. Jauhilah dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya
berhutang itu akan menjadikan dirimu hina di waktu siang dan hina di waktu
malam.
6. Dan selalulah berharap kepada Allah tentang sesuatu
yang menyebabkan kamu menderhaka.
Takutlah kepada Allah dengan benar-benar takut, tentulah engkau akan
terlepas dari sifat putus asa dari rahmat Allah S.W.T.
7. Hai anakku! Seseorang pendusta itu akan lepas hilang
air mukanya kerana tidak dipercayai orang, dan seseorang yang telah rosak
akhlaknya akan sentiasa memikirkan dan mengkhayalkan perkara-perkara yang tidak
benar. Ketahuilah bahwa memindahkan batu besar yang berat dari tempat asalnya
adalah lebih mudah daripada memberi pengertian kepada orang-orang yang tidak
mahu mengerti.
8. Hai anakku!
Engkau telah merasakan betapa beratnya mengangkat batu yang besar dan
besi yang amat berat, tetapi adalah lebih berat daripada itu semua apabila
engkau mempunyai jiran tetangga yang jahat.
9. Hai anakku!
Janganlah sekali-kali engkau mengirimkan utusan melalui orang bodoh dan
jahat. Maka bila tidak ada orang yang
baik dan cerdik, sebaiknya engkau sendiri sajalah yang menjadi utusan.
10. Jauhilah sejauh-jauhnya sifat berdusta, sebab
berdusta itu ketika sekali mengerjakannya bagaikan memakan daging burung,
padahal sedikit sahaja perbuatan dusta yang dilakukan akibatnya dan bahayanya
amat besar.
11. Hai anakku!
Bila engkau menghadapi dua pilihan, menziarahi orang mati atau
menghadiri mailis perkahwinan, maka hendaklah engkau memilih menziarahi orang
mati. Sebab menziarahi orang mati itu
akan mengingatkan kamu kepada akhirat, sedangkan menghadiri majlis perkahwinan
itu hanyalah akan mengingatkan kamu kesenangan duniawi sahaja.
12. Janganlah engkau makan atau minum yang berlebihan,
kerana sesungguhnya makan yang terlalu kenyang itu akan merosakkan diri dan
pemikiranmu, dan alangkah baiknya makanan yang lebih itu diberikan kepada
anjing sahaja.
13. Hai anakku!
Janganlah engkau menelan terus sesuatu makanan kerana manisnya, dan
janganlah terus engkau memuntahkan sesuatu barang kerana pahitnya. Kerana manis itu belum tentu mendatangkan
kesegaran dan belum tentu yang pahit itu mendatangkan musibah.
14. Makanlah makananmu bersama-sama orang yang takwa, dan
musyawarah segala urusanmu dengan para alim ulama dengan cara memohon nasihat
daripadanya.
15. Hai anakku!
Bukanlah suatu kebaikan namanya apabila engkau selalu mencari ilmu
tetapi tidak engkau mengamalkannya. Hal
itu tidak ubahnya seperti orang yang mencari kayu api, setelah banyak terkumpul
maka dia tidak mampu memikulnya padahal dia masih terus mengumpulkannya.
16. Hai anakku!
Apabila engkau ingin mencari teman sejati, maka ujilah terlebih dulu
dengan perkara yang menaikkan kemarahannya.
Bilamana dalam kemarahan itu dia masih berusaha untuk menginsafkan
engkau, maka bolehlah engkau ambil sebagai kawan, dan sekiranya bukan demikian
maka berhati-hatilah engkau terhadapnya.
17. Perbaikkanlah tutur katamu, halus budi bahasamu dan
manis wajahmu, kerana engkau akan disukai orang yang melebihi sukanya terhadap
orang lain yang pernah memberikan barang yang berharga kepadanya.
18. Hai anakku!
Apabila engkau berteman, jadikanlah dirimu orang yang tidak pernah
mengharapkan daripadanya. Namun biarlah dia mengharapkan sesuatu daripadamu.
19. Jagalah dirimu dalam setiap perkara sebagai seorang
yang tidak berhajatkan kepada pujian atau sanjungan dari orang lain, kerana
penguasaannya itu akan menyebabkan diri kamu beroleh.
20. Hai anakku! Usahakanlah agar mulutmu jangan
mengeluarkan kata-kata busuk, kotor dan kasar kerana engkau akan lebih selamat
apabila berdiam diri. Kalau berbicara,
usahakanlah agar dirimu akan mendatangkan manfaat kepada orang lain.
21. Hai anakku!
Janganlah engkau cenderung kepada dunia semata-mata dan hatimu jangan
disibukkan dengan urusan dunia semata-mata, kerana engkau diciptakan Allah
bukannya untuk urusan dunia sahaja.
Tidak ada orang yang lebih hina melainkan orang yang terpedaya dengan
dunia semata-mata.
22. Hai anakku!
Janganlah engkau terlalu mudah ketawa kalau bukan perkara yang
menggelikan, jangan engkau berjalan tanpa tujuan pasti, janganlah engkau
menanyakan sesuatu yang tidak ada gunanya bagi diri kamu dan janganlah engkau
mensia-siakan harta dunia kamu.
23. Barangsiapa yang penyayang, sudah tentu akan
disayang, siapa yang suka berdiam diri sudah tentu akan selamat daripada
berkata-kata tentang perkara yang mengandungi racun, dan barangsiapa yang tidak
mampu menahan lidahnya daripada berkata kotor, sudah tentu akan menyesal.
24. Hai anakku!
Bergaul mesralah dengan orang alim dan berilmu. Perhatikanlah kata-kata
dan nasihatnya kerana sesungguhnya akan sejuk hati kamu mendengar nasihatnya, hiduplah
hati ini dengan cahaya hikmah dari mutiara kata alim ulama bagaikan tanah yang
subur disirami air hujan.
25. Hai anakku!
Ambillah harta dunia sekadar keperluanmu, dan nafkahkanlah yang
selebihnya untuk akhirat. Jangan engkau
tendang dunia ini ke bakul sampah, kelak diri kamu akan menjadi pengemis yang
membebankan orang lain. Sebaliknya
jangan engkau rangkul dunia ini dan meneguk habis kerana sesungguhnya semua
yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka. Jangan engkau bertemankan
orang bodoh dan orang yang bermuka dua, kerana akan aniayakan diri kamu.
Wallahu'alam
From
: Kader
Ibrahim <kader@mailsvr.boc.com.my>
Dipetik
dari majalah : We Care, 1997
Ibnu
Abas berkata bahawa Rasulullah bersabda :
"Sesungguhnya
orang yang paling pedih seksaannya pada hari kiamat adalah orang yang membunuh
nabi atau orang yang dibunuh oleh nabi atau membunuh seorang daripada ibu
bapanya dan pembuat patung serta orang berilmu yang tidak mendapat manfaat
daripada ilmunya." - (Riwayat Baihaqi).
No comments:
Post a Comment